100 Pesanan Terakhir Rasulullah
100 Pesanan Terakhir Rasulullah
Bakat menulis anak kelahiran Kapar, Selangor ini dicungkil sejak empunya diri berada di tingkatan lima, Sekolah Menengah Tengku Idris Shah, Kapar, Selangor. Bermula dengan menulis cerpen, dia kemudiannya berjinak-jinak menghasilkan novel dan skrip drama radio.

Menyedari anugerah dalam bidang penulisan mampu dikembangkan ke peringkat lebih tinggi, dia kemudian memilih untuk menjadi seorang wartawan dan melibatkan diri dalam dunia penerbitan.

Bagaimanapun pada tahun 2004, pemilik nama Muhd Nasruddin Dasuki ini, beralih ke bidang perniagaan buku.

Seiring dengan peningkatan usia, Nasruddin, yang kini berusia 52 tahun, mengambil keputusan kembali menulis namun tumpuannya lebih kepada karya yang berunsur islamik.

Menurutnya, penulis mempunyai peranan besar untuk membentuk masyarakat menerusi ilmu yang dimiliki.

“Di sinilah saya cuba untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang ada sepanjang bergelar penulis. Malah, keputusan saya menjadi seorang penulis karya islamik adalah satu pilihan tepat.

“Jika dahulu karya dihasilkan tidak pernah mencecah sehingga tiga kali cetakkan, tetapi apabila saya memilih menghasilkan karya islamik cetakkannya lebih memberangsangkan.

“Bagi saya, ia satu perubahan yang besar dalam hidup. Sebagai penulis, ia merupakan kejayaan dan peningkatan dalam karier saya,” katanya yang popular dengan karya berjudul, 100 Pesanan Terakhir Rasulullah.

Punya pengisian tersendiri

Berbicara mengenai buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah, Nasruddin yang juga bekas seorang wartawan menjelaskan, buku tersebut dihasilkan sebagai panduan buat pembaca.

“Terdapat 10 bab dalam buku ini yang mana setiap daripadanya mempunyai 10 pesanan Rasulullah. Jika diikutkan memang terdapat banyak pesanan Rasulullah S.A.W yang mahu disampaikan kepada umatnya, namun saya memilih dan mengambil yang penting sahaja.

“Mungkin dalam buku-buku dihasilkan penulis lain, pesanannya cuma dua atau tiga, tetapi saya memilih 10 supaya memberikan lebih ilmu dan manfaat kepada pembaca,” katanya.

Walaupun buku ini mengambil masa hampir enam bulan, namun dia sangat berpuas hati kerana pengisiannya ada keistimewaan tersendiri.

“Alhamdulillah, ia tidak seperti novel yang terlalu panjang dan sukar difahami mesejnya. Sebaliknya buku ini memberikan penekanan kepada setiap bait-bait ayat yang ada,” katanya.

Ditanya mengenai idea di sebalik penghasilan buku itu, Nasruddin berkata, dia yakin sebagai umat Islam sudah pasti ramai di antara kita memerlukan panduan untuk mendapat keberkatan dalam kehidupan.

“Atas kesedaran itulah saya mengambil keputusan untuk melahirkan buku ini. Bagi saya, ia satu pendekatan kepada pembaca supaya mengingati pesanan Rasulullah.

“Bukan sahaja boleh digunakan dalam kehidupan seharian malah ia memastikan kita supaya tidak alpa dan lalai menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya,” katanya.

100 Pesanan Terakhir Rasulullah, telah pun diterbitkan oleh Karya Bistari, Grup Buku Karangkraf sejak Ogos tahun lalu dengan harga RM18.00.

Antara kandungan menarik dalam buku ini adalah Peliharalah Solat mu, Isteri, Taatilah Suami mu, Bersedekah Biarlah Ikhlas, Bersahabat Cara Rasulullah, Memberi Salam Itu Satu Sedekah, Ziarahilah Kubur Ingati Kematian, Mengharap Keredhaan Beribadat, Tawaduk Penghapus Kesombongan, Al-Quran dan Sunah Panduan Hidup serta Pertolongan Allah Buat Yang Sabar.


Sambutan hebat

Nasruddin berkata, dia tidak pernah menduga karya tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Saya memang pernah terfikir bagaimanakah reaksi pembaca apabila buku ini berada di pasaran. Pada mulanya memang saya gusar jika ia tidak mendapat sambutan. Lagi pun, pelbagai karya islamik yang hebat sedia ada di pasaran dihasilkan oleh penulis yang tersohor dan mempunyai pengikut tersendiri.

“Bagaimanapun, saya tekad untuk menghasilkannya dan hanya bertawakal kepada ALLAH SWT. Selain itu, saya sentiasa berdoa agar buku tersebut diterima pembaca,” katanya.

Buku ini juga antara 10 buku terlaris yang dipasarkan oleh Kedai Buku Popular sepanjang tahun 2011, bahkan ia turut tersenarai dalam anugerah pilihan pembaca popular bagi kategori bukan fiksyen anjuran sebuah akhbar tempatan bagi tahun 2012.

100 Pesanan Terakhir Rasulullah merupakan sebuah bahan bacaan islamik menyentuh mengenai pesanan Rasulullah kepada umatnya untuk digunakan dalam kehidupan sepanjang hayat.

Untuk mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat, kita perlu sentiasa mengingati pesanan Rasulullah S.A.W agar tidak lalai dengan tipu daya nikmat dunia.

100 Pesanan Terakhir Rasulullah ini pasti menggetarkan hati kita. Andai pesanan ini jauh daripada jangkauan dan apa yang dilaksanakan, jadikanlah ia sebagai kayu pengukur amalan kita. Moga ada kebaikan yang dapat dikongsi bersama. Insya-Allah.