Selamat Datang

Sirah Nabawiyah

Sunday 14 April 2013

Ustaz Don saran sayangi Rasulullah


SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
5 Februari 2012
Ustaz Don
$entry.content.caption.value
Hari ini, seluruh umat Islam meraikan salah satu hari penting dalam kalendar Islam iaitu sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Mengangkat tema Persefahaman Asas Perpaduan Ummah, sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan juga dipenuhi dengan pelbagai acara perarakan, ceramah dan sebagai­nya.

Seperti yang diketahui, sesiapa yang mengadakan atau menghadiri majlis memperingati keputeraan baginda atau Maulidur Rasul, pasti akan dikurniakan banyak kelebihan dan keistimewaan daripada ALLAH SWT.

Jika disoroti kembali sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan kebenaran agama Islam, Baginda terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan liku.

Namun, ia sedikit pun tidak menjadi halangan buat kekasih ALLAH SWT itu, sebaliknya Baginda terus menyebarkan syiar Islam.

Sebagai umat nabi terakhir, kitalah yang perlu meneruskan perjuangan Rasulullah dengan menjadikan keperibadian Baginda sebagai ikutan.

Bagi personaliti TV Alhijrah, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, tiada insan lain yang wajar dijadikan contoh dalam kehidupan seharian umat Islam melainkan Rasulullah SAW.

Lebih mesra disapa dengan panggilan Ustaz Don, jejaka kelahiran Pulau Pinang ini mempunyai satu misi yang ingin dicapainya.

Tidak lain tidak bukan ialah dia mahu semua orang menyayangi dan mencontohi Nabi Muhammad SAW.

Pasti ada segelintir pihak yang memandang sinis misi mulia yang ingin dilaksanakan pendakwah muda ini dengan berpandangan sang empunya diri sendiri belum sempurna.

Namun, demi rasa cinta terhadap Rasulullah SAW, Ustaz Don tidak menganggapnya sebagai batu penghalang.

“Benar, saya juga seperti insan lain yang tidak sempurna dan tidak terlepas daripada melakukan dosa.

“Namun, adakah insan seperti saya tidak berpeluang untuk mengajak orang lain berbuat kebaikan? Dalam konteks ini, adalah untuk mengajak masyarakat mencontohi Rasulullah SAW,” katanya.

Menurut Ustaz Don, dalam melaksanakan matlamatnya itu, dia sentiasa berpegang kepada firman ALLAH SWT yang bermaksud; ‘Bersegeralah kamu berbuat baik’.

“Saya mengakui, saya sendiri belum mampu mengikut semua sunnah Rasulullah SAW. Namun, kalau hendak tunggu saya sempurna barulah boleh mencontohi Nabi Muhammad SAW, sehingga kiamat pun saya tidak akan sempurna.

“Biarlah apa orang kata, saya tetap akan mengajak masyarakat untuk menyayangi Baginda. Insya-ALLAH, dengan berbuat demikian, 100 kali Rasulullah SAW sayangkan kita,” katanya.


Mulakan dengan selawat

Menurut Ustaz Don, mengenali dengan lebih dekat keperibadian Rasulullah SAW ibarat pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.

Malah, tiada istilah terlewat untuk seseorang itu untuk menyemai perasaan sayangkan Nabi Muhammad SAW. Dengan langkah permulaan seperti berselawat, pasti perasaan itu akan terus mekar di dalam diri kita.

“Umpama sebuah pintu di sebuah rumah, ia hanya dapat dibuka dengan kunci yang betul. Begitu juga dengan pintu hati kita. Mulakanlah dengan berselawat ke atas Rasulullah SAW, kerana selawat itu merupakan kunci untuk membuka pintu hati.

“Apabila kita berjaya memupuk perasaan cintakan Rasulullah SAW melalui selawat, pasti seterusnya tidak sukar bagi kita untuk melaksanakan sunnah Baginda,” katanya.

Bagi ibu bapa, menurut Ustaz Don, mereka perlu menjadi contoh kepada anak-anak dalam usaha menerapkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW sejak kecil lagi.

“Jika ibu bapa sendiri menunjukkan keperibadian yang baik, anak-anak yang melihat setiap perlakuan ibu bapa pasti akan mengikutnya.

“Tiada gunanya jika kita asyik menyuruh anak-anak mencontohi Rasulullah SAW, sedangkan sebagai ibu bapa kita sendiri tidak mengikutinya,” katanya.

Selain contoh daripada ibu bapa, Ustaz Don berkata, cara terbaik untuk mendidik golongan remaja pula adalah melalui ilmu.

“Sekiranya penerangan kita tidak disertakan fakta, mungkin sukar bagi mereka mendapatkan gambaran.

“Apabila ada fakta, barulah mereka jelas dan lebih mudah untuk mengaplikasikan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian,” katanya.

Adab berbuka cara Rasulullah SAW


BAHRAIN SAMAH, RH (AHG)
24 Julai 2012
Adab berbuka cara Rasulullah SAW
Rotab dan kurma menjadi pilihan Rasulullah SAW untuk berbuka puasa
Antara tujuan berpuasa adalah agar Muslim dapat berasakan kesukaran yang dilalui fakir miskin yang benar-benar kekurangan makanan.

Jadi puasa sepatutnya bukan setakat berlapar dan dahaga hanya pada siang hari namun sepanjang hari. Ini bermakna jika berbuka puasa, makan sepatutnya secara ala kadar. Bukan selagi boleh muat perut.

Puasa Ramadan adalah tuntutan syariat di mana turutannya ialah yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu.
Rukun Islam adalah pelengkap kepada Rukun Iman di mana kedua-duanya wajib difahami dan dipraktikkan secara bersungguh-sungguh.

Sebagai Muslim yang mengaku beriman dan cintakan ALLAH SWT, sewajarnya contohi sunnah Rasulullah SAW.
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosa mu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran: 31)
Ibnu Katsir (701-704H) mentafsir ayat ini dalam kitab tafsirnya Tafsir Ibnu Katsir dengan menyatakan, “Ayat ini menjadi bukti, “Siapa saja yang mengaku mencintai ALLAH SWT, namun ia tidak berjalan sesuai dengan jalan yang telah ditetapkan oleh Nabi Muhammad SAW, maka orang tersebut hanya berdusta saja. Dirinya diakui benar-benar mencintai ALLAH, tatkala dia mengikuti ajaran yang dibawa Muhammad SAW, baik dalam perkataan, perbuatan, dan persetujuan beliau SAW.”

Islam utamakan kualiti

Sesungguhnya Islam mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Ibadah berkualiti hanya boleh didapati dengan menuruti perintah dan larangan ALLAH SWT dan sunnah Rasulullah SAW.

Muslim yang memiliki akal yang sihat sewajarnya membandingkan sesuatu ibadah yang dipelajari daripada ustaz, tok imam atau buku dengan hadis sahih yang membicarakan ibadah berkaitan sesuatu perkara. Hadis tersebut boleh dipelajari dengan guru berkelayakan dalam bidang berkaitan.
Kitab Nailul Authar (172 - 250H) susunan Imam Syaukani adalah kitab yang sesuai dijadikan bahan rujukan untuk perkara berkaitan ibadah dari bab air, solat, puasa dan seterusnya kerana ia mengandungi hadis yang secara keseluruhannya berdarjat sahih sungguh pun terdapat beberapa derajat hadis yang diperdebatkan ulama.   

ALLAH SWT berfirman maksudnya “Dan sesiapa yang taat kepada ALLAH dan Rasul-Nya, akan dimasukkan ALLAH ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar.” (Surah An-Nisaa' : 13)

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada ALLAH, dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka maka (janganlah berdukacita wahai Muhammad), kerana kami tidak mengutus mu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka daripada melakukan kesalahan).” (Surah An-Nisaa' : 80)

Maksudnya sesiapa yang taat kepada Rasulullah SAW secara automatik mereka taat kepada ALLAH SWT.

Jadi, seseorang yang mengaku beriman sewajarnya menuruti sunnah Rasulullah SAW, bukan setakat ikut cakap-cakap ustaz itu atau tok imam ini.

Setiap pelajaran ugama berkaitan ibadah yang diajar mereka yang bukan berstatus rasul ini (dan tidak maksum) sewajarnya dibandingkan dengan perintah atau larangan ALLAH SWT dan sunnah Rasulullah SAW menggunakan hadis sahih sebagai neraca. Jika benar menurut kedua-dua sumber itu ambil dan amalkan.Jika tidak, maka tinggalkan sahaja.

ALLAH SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah ALLAH dan taatlah Rasul-Nya dan Ulil-Amri (Pemimpin) kalangan kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada ALLAH dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagi mu), dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisaa : 59)

ALLAH SWT secara tegas berfirman maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. (Surah al-Haysr: 07)

Amalan ketika berbuka

Berikut adalah beberapa adab yang dipraktikkan Rasulullah SAW ketika berbuka puasa yang penulis kaitkan dengan isi artikel ini. Rasulullah SAW menyegerakan berbuka puasa.

Rasulullah SAW bersabda, “Manusia itu sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW berdoa ketika berbuka, baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya doa orang yang berpuasa itu tidak tertolak ketika dia berbuka.” (Ibnu Majah)

Menurut hadis sahih, Baginda juga baca bismillah sebelum makan dan membaca doa setelah selesai makan. Baginda berbuka dengan makanan yang mudah dimakan dan mudah dicerna.

Daripada Anas RA berkata, "Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (tamar basah) sebelum solat, jika tiada rutab Baginda berbuka dengan tamar, dan sekiranya tamar tiada baginda akan berbuka dengan air." (Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Kata Tirmidzi ia hadis hasan]

"Rasulullah SAW menyegerakan solat maghrib berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis di atas iaitu baginda berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum solat.

Jika makanan telah dihidangkan? Menyentuh hal ini baginda bersabda, “Apabila dihidangkan makanan maka mulailah dengannya (makanan itu) sebelum kamu solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah ketika makan." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka yang berbuka dengan rutab, tamar atau air dan terus solat dan terus solat maghrib sedangkan makanan telah terhidang dikatakan oleh ulama yang mengamalkan sunnah di atas sebagai pengamal bidaah iaitu tidak mengikuti contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW. '

Mengenai kuantiti makanan memadai seseorang menuruti hadis ini yang menunjukkan adab/akhlak baginda yang tinggi, Baginda bersabda yang bermaksud: "Tidaklah anak Adam itu mengisi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.

Sudah cukuplah bagi anak Adam itu dengan beberapa suap (makanan) yang dapat meluruskan tulang belakangnya (sekadar memberi tenaga), jika tidak boleh, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasan." (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi. Kata al-Tirmizi: hadis hasan sahih)

Fikir-fikirkanlah setakat mana iman kita kepada Rasulullah SAW. Adakah kita benar-benar menuruti sunnahnya, beribadah secara berlebihan dengan melakukan bidaah atau meremehkan sunnahnya?

Tarik balik filem hina Rasulullah


SYAIRI SHAARI
15 September 2012
Tarik balik filem hina Rasulullah
Sebahagian jemaah yang menyertai Himpunan Munajat dan Membantah terhadap tayangan video yang menghina Nabi Muhammad SAW, semalam.
GOMBAK - Pemuda Pas Pusat akan melancarkan Himpunan Sejuta Umat di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat sekiranya kerajaan berkenaan tidak mengambil langkah meredakan kemarahan umat Islam berikutan penayangan filem menghina Nabi Muhammad SAW pada 2 Julai lalu.

Setiausaha Agungnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, Dewan Pemuda Pas Pusat mendesak kerajaan Amerika Syarikat (AS) supaya menarik balik penerbitan filem berjudul Innocence of Muslims oleh Sam Bacile yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Pemuda Pas memberi isyarat sekiranya isu ini tidak ditangani, perhimpunan sejuta umat Islam akan bangkit di hadapan kedutaan tersebut pada Jumaat depan,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Munajat dan Membantah terhadap tayangan filem yang menghina peribadi sebenar Nabi selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, semalam.

Hadir sama, Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia, Ridhuan Mohd Noor; Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohd; Ketua Pemuda Pas Selangor, Hasbullah Ridhuan dan Yang Dipertua Pas Gombak, Salehuddin Mohd Nasir.

Kira-kira 300 umat Islam menyertai perhimpunan tersebut yang antaranya melaungkan sanggup mati syahid dan bermandi darah demi mempertahankan Islam dan Rasulullah.

Jiwai kasih sayang Rasulullah SAW


DR ASYRAF WAJDI DUSUKI 
23 Januari 2013
Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Maulidur Rasul yang bakal disambut esok pastinya mempunyai makna besar untuk direnungi umat Islam, khususnya di Malaysia. Apatah lagi ia diadakan dalam suasana rakyat sedang hebat berteka-teki tarikh pilihan raya yang hakikatnya terasa hangat suhu ketegangan dan pertelingkahan emosi.

Apa yang pasti sambutan tarikh kelahiran Nabi SAW bukanlah sekadar upacara rutin tahunan dengan laungan selawat tanpa makna dan erti.  Sebaliknya Maulidur Rasul harus dihayati dalam konteks lebih luas merangkumi agenda pembentukan peribadi umat cemerlang dan gemilang berteraskan model keperibadian dan kejiwaan Rasulullah SAW.

Dalam penulisan kali ini, penulis berkecenderungan menyingkap jiwa kasih sayang yang merupakan salah satu ciri terpenting keperibadian Nabi. Malah sifat kasih sayang yang menerasi jiwa dan akhlak Nabi SAW sering diulang-ulang dalam al-Quran. ALLAH berfirman: Muhammad itu utusan ALLAH dan orang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir (yang bermusuh dengan Islam) tetapi berkasih sayang sesama mereka. (Al-Fath: 29).

Dalam ayat lain ALLAH sekali lagi menekankan jiwa kasih sayang Nabi SAW: Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu, sangat mengambil berat dia terhadap sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada kamu, amat sangat menginginkannya semua perkara yang baik bagi kamu dan kepada orang mukmin amat sayang baginda terhadap mereka. (At-Taubah: 128).

Dalam kedua-dua ayat di atas, al-Quran menggunakan perkataan ‘Rauf’ dan ‘Rahim’ untuk menegaskan maksud kasih sayang yang menerasi keperibadian Nabi, terutamanya dalam hubungan sesama golongan yang beriman.

Dalam sesetengah tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir, perkataan ‘Rauf’ ini disebut sebagai ‘Shiddatur Rahmah’ atau kasih sayang yang mencapai tahap tertinggi berteraskan keimanan seutuhnya kepada ALLAH.

Ini bermakna kasih sayang dalam pengertian hubungan sesama umat Islam diikat atas asas keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH SWT semata-mata. Malah perkataan Ar-Rauf dan Ar-Rahim sendiri merupakan sebahagian daripada nama-nama ALLAH yang membawa makna Maha Pengasih dan Penyayang.

Sebab itulah dakwah Nabi SAW sendiri bermula dengan menzahirkan budaya kasih sayang sebagai asas terpenting pembentukan umat Islam yang hebat. Malah aspek kasih sayang merupakan elemen terpenting yang memperkuat dan memperteguh umat Islam hingga mampu membina tamadun umat yang hebat pada suatu ketika.

Sebaliknya apabila nilai kasih sayang dipinggirkan sedang sifat benci dan dendam yang lebih membudaya dan mengakar, maka dengan sendirinya kekuatan umat Islam akan melebur. Sejarah jelas membuktikan bagaimana tamadun Islam akhirnya hancur sama sekali lantaran serakah manusiawi yang membelakangi nilai kasih sayang sesama umat.

Persoalannya, apakah budaya kasih sayang masih membudaya dalam diri umat Islam Malaysia ketika ini? Atau apakah dunia politik umat kini sedang mengalami krisis kekeringan makna dan kegersangan nilai kasih sayang hingga menggejalanya budaya dendam dan benci yang membinasakan?

Hakikat yang sukar untuk dinafikan, budaya dendam dan benci masih kekal membarah dalam diri penggiat-penggiat parti politik. Malah kepentingan merebut kuasa sering kali menjadikan ahli-ahli parti hilang pertimbangan rasional.

Ramai ahli politik Islam sendiri ikut hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita. Perlakuan seumpama ini jelas membelakangkan prinsip akhlak dan nilai keagamaan.

Pilihan raya misalnya tidak lagi dijadikan alat, malah dalam banyak keadaan, sistem demokrasi pilihan raya dipertuhankan dengan harapan kuasa dapat dikecap dengan apa cara sekalipun.

Dengan menggejalanya budaya politik yang mengalami pendangkalan nilai dan etika kini, pastilah ia mudah menghakis jati diri dan membunuh idealisme perjuangan sejati. Penyimpangan budaya politik ini jugalah yang sering membelakangi prinsip kasih sayang hingga menggejala budaya politik berasaskan kebencian pastinya mampu meleburkan perpaduan dan memporak-perandakan negara.

Justeru, kehidupan politik umat harus segera diselamatkan sebelum terlambat. Amalan berparti dan berpolitik yang ada memerlukan usaha pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadannya di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua bentuk percaturan.

Harga dan nilai bangsa hanya mampu dimartabatkan apabila kita benar-benar menjiwai nilai dan prinsip Islam, sekali gus membudayakan kasih sayang sebagaimana keperibadian junjungan.

Bacaan cara Rasulullah SAW, sahabat


SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
1 Mac 2013
Syeikh Solah Khalifa
Syeikh Solah Khalifa
sekadar gambar hiasan
Pelajarilah cara bacaan al-Quran yang sebetulnya kerana ia perlu dan wajib bagi kita umat Islam. - Gambar hiasan
AL-QURAN, diturunkan daripada ALLAH SWT kepada junjungan besar, Nabi Muhammad SAW untuk menjadi petunjuk umat Muhammad dalam mengemudi kehidupan seharian Muslim itu.

Menelusuri sejarah penurunan al-Quran, terdapat banyak pandangan ulama mengenainya, namun yang jelas al-Quran melalui tiga peringkat iaitu pertama; turun ke loh mahfuz dengan jumlah yang satu, kedua; turun ke baitil izzah di langit dunia dengan jumlah yang satu dan ketiga; turun dari langit dunia ke bumi kepada Nabi ALLAH SWT secara berperingkat dalam tempoh 23 tahun.

Sempena Maulidur Rasul lepas, pentafsir al-Quran sedunia merangkap pensyarah di Universiti Mu’tah, Jordan, Syeikh Solah Khalifa Muhammad Khalifa didatangkan khas oleh Universiti Antarabangsa Madinah (Mediu) bagi menerangkan secara tepat mengenai cara mengenali bacaan (qiraat) berdasarkan pembacaan Nabi SAW dan para sahabat Baginda.


Pengertian qiraat al-Quran

Syeikh Solah Khalifa menerangkan sejelasnya pengenalan, sejarah dan kaedah pembacaan Riwayat Hafsin ‘an Aa’sim dan  Riwayat Syukbah serta bagaimana untuk mengetahui qiraat al-Quran merangkumi selain daripada yang sering digunakan di Nusantara.

“Secara etimologi, perkataan qiraat adalah dalam bentuk masdar dari perkataan qaraa yang bermaksud bacaan. Sedangkan menurut terminologi, terdapat banyak pendapat ulama mengenai pengertian makna qiraat ini. Menurut Syeikh al-Dimyathi, qiraat adalah: “Suatu ilmu untuk mengetahui cara pengucapan lafaz al-Quran.”

“Menurut Imam Shihabuddin al-Qushthal, qiraat adalah “Suatu ilmu untuk mengetahui kesepakatan serta perbezaan ahli qiraat, seperti bersangkutan dengan aspek bahasa, i’rab, isbat, fasal dan lain-lain yang diperoleh dengan cara periwayatan,” katanya dalam wacana al-Quran di Dewan Utama tingkat 14, Mediu, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam.

Menurutnya, berdasarkan definisi itu,  jelas qiraat al-Quran berasal daripada Nabi SAW. Dimaksudkan qiraat dalam perbahasan ini, iaitu cara pengucapan lafaz- al-Quran sebagaimana diucapkan Nabi SAW atau sebagaimana yang diucapkan sahabat di hadapan Nabi lalu Baginda bersetuju dengannya dan Qiraat al-Quran pula diperoleh berdasarkan periwayatan Nabi SAW, baik secara fi’liyah mahupun taqririyah.


Munculnya perbezaan qiraat

Mengenai hal ini, terjadi perbezaan pula dari para ulama mengenai apa sebenarnya yang menyebabkan perbezaan tersebut. Berikut adalah pendapat-pendapat para ulama:

Sebagaimana ulama berpendapat bahawa perbezaan qiraat al-Quran disebabkan kerana perbezaan qiraat Nabi SAW, ertinya dalam menyampaikan dan mengajarkan al-Quran, Baginda membacakannya dalam berbagai versi qiraat. Contoh: Nabi SAW pernah membaca ayat 76 surah ar-Rahman dengan qiraat yang berbeza.

Pendapat lain mengatakan: Perbezaan pendapat disebabkan adanya takrir Nabi SAW terhadap berbagai qiraat yang berlaku dalam kalangan kaum Muslimin pada zaman itu.

Ada pendapat mengatakan, perbezaan qiraat disebabkan kerana perbezaannya qiraat yang diturunkan oleh ALLAH SWT kepada Nabi SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail.

Jumhur ulama ahli qiraat berpendapat bahawa perbezaan qiraat adalah disebabkan adanya riwayat para sahabat Nabi SAW berbagai versi qiraat yang ada.

Sebahagian ulama berpendapat, perbezaan qiraat disebabkan adanya perbezaan dialek bahasa dalam kalangan bangsa Arab pada masa turunnya al-Quran.

“Kesimpulannya, qiraat bukanlah hasil ijtihad para ulama, karena ia bersumber daripada Nabi SAW. Namun untuk membezakan mana qiraat yang berasal daripada Baginda dan mana yang bukan, maka para ulama menetapkan syarat-syarat tertentu.


“Ada tiga syarat bagi qiraat al-Quran untuk digolongkan sebagai qiraat sahih, iaitu:

Harus memiliki sanad yang sahih.

Harus sesuai dengan rasm mushaf salah satu mushaf Usmani.

Harus sesuai dengan kaedah bahasa Arab. Jika salah satu daripada syarat ini tidak dipenuhi, maka qiraat itu dinamakan qiraat yang lemah,” ulas Syeikh Solah Khalifa yang berasal dari Mesir ini.


Kelebihan mempelajari qiraat

Dengan berbagai variasi qiraat, maka banyak sekali manfaat atau faedah di antaranya: menunjukkan betapa terpelihara dan terjaganya kitab ALLAH SWT daripada perubahan dan penyimpangan, meringankan umat Islam dan memudahkan mereka untuk membaca al-Quran serta dapat membuktikan kemukjizatan al-Quran dari segi kepadatan makna, kerana setiap qiraat menunjukkan sesuatu hukum syarak tertentu tanpa perlu pengulangan lafaz.

Syeikh Solah Khalifa berkata, bacaan al-Quran menurut Riwayat Hafs daripada ‘Asim adalah bacaan majoriti umat Islam di dunia.

“Mengikut statistik, 95 peratus daripada umat Islam membaca al-Quran mengikut riwayat ini.

“Toriq atau cara pembacaan yang masyhur pada qiraat ini menjadi pegangan  umat Islam di dunia umumnya dan di Malaysia khasnya adalah toriq al-Syatibiyyah, iaitu toriq yang dibawa oleh Imam al-Syatibi,” katanya yang mendapat pendidikan daripada Universiti al- Azhar, Mesir dan pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Ghazali Rahimahullah, Syeikh Mutawali Sya’rawi dan Syeikh Abdul Hamid Khishk.

Ini bermakna qiraat Imam ‘Asim juga telah diriwayatkan oleh Imam Syukbah. Melalui perbincangan Syeikh Solah Khalifa bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini berkenaan mencadangkan percetakan al-Quran yang mempunyai dua riwayat iaitu Riwayat Hafsin dan Riwayat Syu’bah. Kedua-duanya tidak ketara perbezaan hanya dalam beberapa lafaz dan keduanya adalah bersumberkan sanad Imam ‘Asim.



Sanad Imam ‘Asim:

Imam ‘Asim mengambil bacaan dari =
  1. Abd Rahman Assulami
  2. Abu AmruAlSyaibani
  3. Abu Ubaid al Salma
  4. Zirr bin Hubaisiy al Asadi
Abd Rahman Assulami ambil bacaan dari =
  1. Ali bin AbiTolib
  2. Uthman bin Affan
  3. Zaid bin Thabit
  4. Ubai bin Kaab
  • Zirr bin Hubaisiy ambil bacaan daripada Abdullah bin Mas’ud dan lain-lain

  • Sanad Imam ‘Asim yang diambil qiraat dan diriwayatkan oleh Imam Hafs daripada ‘Asim, daripada Abd Rahman Assulami, daripada Ali bin Abi Talib dan daripada Rasulullah SAW.

  • Sanad Imam ‘Asim yang diambil qiraat dan diriwayatkan oleh Imam Syu’bah, ‘Asim, Zir bin Hubaisy, Abdullah bin Mas’ud daripada Rasulullah SAW.

Mazhab bacaan qiraat yang dikumpulkan oleh Imam Syatibi:-

Imam Nafi (Madina) dan dua perawinya:
1) Qaaloon, 2) Warsh

Imam Ibn Kathir (Makkah) dan dua perawinya:
1) Qunbul, 2) Bazzi

Imam Abu ‘Amru (Basra: Iraq) dan dua perawinya:
1) Duri, 2) Susi

Imam Ibn ‘Amir (Syam) dan dua perawinya:
1) Hisham, 2) Ibn Zakwaan

Imam Aasim (Kufah: Iraq) dan dua perawinya:
1) Shu’aba, 2) Hafs

Imam Hamzah (Kufah: Iraq) dan dua perawinya:
1) Khalaf , 2) Khallad

Imam Kisaa’i (Kufah: Iraq) dan dua perawinya:
1) AbulHaarith, 2) Duri

100 Pesanan Terakhir Rasulullah


WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mei 2012
100 Pesanan Terakhir Rasulullah
100 Pesanan Terakhir Rasulullah
Bakat menulis anak kelahiran Kapar, Selangor ini dicungkil sejak empunya diri berada di tingkatan lima, Sekolah Menengah Tengku Idris Shah, Kapar, Selangor. Bermula dengan menulis cerpen, dia kemudiannya berjinak-jinak menghasilkan novel dan skrip drama radio.

Menyedari anugerah dalam bidang penulisan mampu dikembangkan ke peringkat lebih tinggi, dia kemudian memilih untuk menjadi seorang wartawan dan melibatkan diri dalam dunia penerbitan.

Bagaimanapun pada tahun 2004, pemilik nama Muhd Nasruddin Dasuki ini, beralih ke bidang perniagaan buku.

Seiring dengan peningkatan usia, Nasruddin, yang kini berusia 52 tahun, mengambil keputusan kembali menulis namun tumpuannya lebih kepada karya yang berunsur islamik.

Menurutnya, penulis mempunyai peranan besar untuk membentuk masyarakat menerusi ilmu yang dimiliki.

“Di sinilah saya cuba untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang ada sepanjang bergelar penulis. Malah, keputusan saya menjadi seorang penulis karya islamik adalah satu pilihan tepat.

“Jika dahulu karya dihasilkan tidak pernah mencecah sehingga tiga kali cetakkan, tetapi apabila saya memilih menghasilkan karya islamik cetakkannya lebih memberangsangkan.

“Bagi saya, ia satu perubahan yang besar dalam hidup. Sebagai penulis, ia merupakan kejayaan dan peningkatan dalam karier saya,” katanya yang popular dengan karya berjudul, 100 Pesanan Terakhir Rasulullah.

Punya pengisian tersendiri

Berbicara mengenai buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah, Nasruddin yang juga bekas seorang wartawan menjelaskan, buku tersebut dihasilkan sebagai panduan buat pembaca.

“Terdapat 10 bab dalam buku ini yang mana setiap daripadanya mempunyai 10 pesanan Rasulullah. Jika diikutkan memang terdapat banyak pesanan Rasulullah S.A.W yang mahu disampaikan kepada umatnya, namun saya memilih dan mengambil yang penting sahaja.

“Mungkin dalam buku-buku dihasilkan penulis lain, pesanannya cuma dua atau tiga, tetapi saya memilih 10 supaya memberikan lebih ilmu dan manfaat kepada pembaca,” katanya.

Walaupun buku ini mengambil masa hampir enam bulan, namun dia sangat berpuas hati kerana pengisiannya ada keistimewaan tersendiri.

“Alhamdulillah, ia tidak seperti novel yang terlalu panjang dan sukar difahami mesejnya. Sebaliknya buku ini memberikan penekanan kepada setiap bait-bait ayat yang ada,” katanya.

Ditanya mengenai idea di sebalik penghasilan buku itu, Nasruddin berkata, dia yakin sebagai umat Islam sudah pasti ramai di antara kita memerlukan panduan untuk mendapat keberkatan dalam kehidupan.

“Atas kesedaran itulah saya mengambil keputusan untuk melahirkan buku ini. Bagi saya, ia satu pendekatan kepada pembaca supaya mengingati pesanan Rasulullah.

“Bukan sahaja boleh digunakan dalam kehidupan seharian malah ia memastikan kita supaya tidak alpa dan lalai menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya,” katanya.

100 Pesanan Terakhir Rasulullah, telah pun diterbitkan oleh Karya Bistari, Grup Buku Karangkraf sejak Ogos tahun lalu dengan harga RM18.00.

Antara kandungan menarik dalam buku ini adalah Peliharalah Solat mu, Isteri, Taatilah Suami mu, Bersedekah Biarlah Ikhlas, Bersahabat Cara Rasulullah, Memberi Salam Itu Satu Sedekah, Ziarahilah Kubur Ingati Kematian, Mengharap Keredhaan Beribadat, Tawaduk Penghapus Kesombongan, Al-Quran dan Sunah Panduan Hidup serta Pertolongan Allah Buat Yang Sabar.


Sambutan hebat

Nasruddin berkata, dia tidak pernah menduga karya tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Saya memang pernah terfikir bagaimanakah reaksi pembaca apabila buku ini berada di pasaran. Pada mulanya memang saya gusar jika ia tidak mendapat sambutan. Lagi pun, pelbagai karya islamik yang hebat sedia ada di pasaran dihasilkan oleh penulis yang tersohor dan mempunyai pengikut tersendiri.

“Bagaimanapun, saya tekad untuk menghasilkannya dan hanya bertawakal kepada ALLAH SWT. Selain itu, saya sentiasa berdoa agar buku tersebut diterima pembaca,” katanya.

Buku ini juga antara 10 buku terlaris yang dipasarkan oleh Kedai Buku Popular sepanjang tahun 2011, bahkan ia turut tersenarai dalam anugerah pilihan pembaca popular bagi kategori bukan fiksyen anjuran sebuah akhbar tempatan bagi tahun 2012.

100 Pesanan Terakhir Rasulullah merupakan sebuah bahan bacaan islamik menyentuh mengenai pesanan Rasulullah kepada umatnya untuk digunakan dalam kehidupan sepanjang hayat.

Untuk mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat, kita perlu sentiasa mengingati pesanan Rasulullah S.A.W agar tidak lalai dengan tipu daya nikmat dunia.

100 Pesanan Terakhir Rasulullah ini pasti menggetarkan hati kita. Andai pesanan ini jauh daripada jangkauan dan apa yang dilaksanakan, jadikanlah ia sebagai kayu pengukur amalan kita. Moga ada kebaikan yang dapat dikongsi bersama. Insya-Allah.

Teladani romantik Rasulullah


13 Julai 2012
Teladani romantik Rasulullah
Tanggungjawab mendidik isteri tergalas di bahu suami- Gambar hiasan
Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati. Mungkin yang diketahui romantik sesama couple. No No No... Ini romantik sesama pasangan suami isteri.

Nabi Muhammad SAW, adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. ALLAH SWT membimbing Baginda dengan didikan-Nya yang terbaik.
Sehingga ALLAH berfirman kepada kekasih-Nya seraya memuji dalam Surah Al-Qalam ayat 4 bermaksud : “Dan sesungguhnya kamu benarbenar berbudi pekerti yang agung.”

Indahnya akhlak Nabi
Sifat yang sempurna inilah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah.

Membuatkan hati mereka mencintai Nabi. Menempatkan Baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya Baginda.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping Baginda.

Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumah tangga Baginda.

Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Siti Aisyah, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah kasih yang cukup romantis antara Baginda dan isteri-isterinya.
Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masa kini yang sering menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia.

Namun atas tawaduk dan romantisnya Baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta Baginda bersama isterinya seolah-olah sedang menghayati novel cinta romantik.
Hayati novel cinta
Dikisahkan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya, Siti Aisyah.

Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa : “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq. Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah.
Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan. Romantik gaya Rasulullah boleh diteladani.

Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan yang tidak pernah selesai. Kita juga boleh mengambil sunnah romantik Rasulullah bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringi mu (menemani sampai ke pintu)”. (Hadis Bukhari dan Muslim).

Bahkan Nabi turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi duduk di sisi unta Baginda. Kemudian Baginda menekuk lututnya. Lalu isteri Baginda, Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi hingga naik atas unta”.

Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu.

Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi bersama isterinya.

Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”. Malah apabila Baginda ingin keluar Baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar.
Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah tidak turut diundangkan bersama.  (Hadis riwayat Muslim)

Romantis terhadap isteri 

Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya.

Seperti mana dalam Sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi: “Sesungguhnya apa pun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isteri mu.”

Walaupun hadis ini  berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi.

Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama.
Nabi tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumah tangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati.
Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi.
Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan.
Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri.

Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet.

Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi.
SUMBER: http://myibrah.com/romantik-itusunnah-rasulullah-s-a-w